Wednesday 24 October 2012

pembinaan tamadun manusia


                                               mood exam dah mai dah!!!

 ~rutin bile jadi pelajar IPG.. awal sem free.. tgh sem esaimen.. akhir sem EXAM!!!.. so dah boring2 jom amik mood study.. SEJARAH OH SEJARAH.. :)))




                            Pembinaan Tamadun Manusia

Daripada catatan Kamus Dewan, tamadun diertikan sebagai kebudayaan, kemajuan, peradaban sesuatu bangsa yang bertamadun, bermakna bangsa yang beradab, bersopan-santun dan berkemajuan. Kalau ditinjau dari segi aspek bahasa, perkataan tamadun berasal daripada kata dasar Bahasa Arab Tamaddana atau Madana yang mengandungi erti pemilihan sesuatu lokasi sebagai tempat tinggal, membangun sesuatu kawasan hingga menjadi suatu perbandaran.


Dari perspektif Barat, Arnold Toynbee telah mengatakan tamadun ialah satu sistem masyarakat yang dapat membantu manusia menambah hasil pengeluaran atau produktiviti dan ia mempunyai empat elemen, iaitu bahan-bahan ekonomi, sistem politik, pengetahuan dan seni. Sementara menurut Gordon Childe, menekankan bahawa revolusi urban sebagai ciri yang  membentuk tamadun manusia. Menurut Gordon, tamadun lahir apabila manusia mula tinggal menetap dalam kumpulan-kumpulan besar di bandar dan mengamalkan pengkhususan pekerjaan. Ini telah menyebabkan berlakunya perkembangan dalam aspek-aspek budaya material, intelektual dan kesenian ke tahap yang amat kompleks yang dikira sebagai tamadun.


Dari perspektif Islam pula, Dr. Muhammad al-Bahly mengatakan tamadun itu ialah keseluruhan penghasilan atau produktiviti yang menggambarkan nilai keperibadian manusia sama ada berbentuk falsafah, pengetahuan, kesenian, politik, kesusasteraan dan sebagainya. Menurut Profesor Syed Naquib Al-Attas, tamadun membawa satu takrif yang mana keadaan kehidupan manusia bermasyarakat atau insan yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat. Ibnu Khaldun juga menghuraikan peradaban ini sebagai pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asasi kehidupan sehingga membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai-nilai seni.


Proses pembinaan tamadun manusia bermula apabila wujud hubungan iaitu penyesuaian antara manusia dengan alam sekelilingnya. Kemunculan dan perkembangan tamadun manusia berlaku secara berperingkat-peringkat mengikut tahap kemajuan yang dialami oleh sesebuah masyarakat. Para sarjana berpendapat bahawa ciri-ciri tamadun ialah perkembangan petempatan kekal, organisasi sosial, sistem pentadbiran, kepercayaan dan agama, pembandaran dan sistem tulisan.


Proses pembinaan tamadun yang paling penting sekali ialah perkembangan pemikiran orang pada zaman tamadun awal untuk membina petempatan kekal dan tidak lagi hidup secara nomad. Bagi memastikan kelangsungan hidup mereka pada masa itu menjadi lebih sistematik dan teratur, pemilihan terhadap kawasan petempatan sangatlah penting. Kebiasaannya, lembah-lembah sungai menjadi pilihan kerana pelbagai manfaat yang diperolehi. Antaranya tanah di kawasan lembah sungai subur dan bekalan air mencukupi untuk menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi seperti pertanian, penternakan dan perdagangan.  Kemajuan dalam bidang pertanian terutamanya dari segi penanaman, penyimpanan makanan dan penternakan binatang menyebabkan manusia pada zaman itu berfikiran lebih kreatif oleh itu nterciptalah beberapa  peralatan baru seperti cangkul dan teknologi pengairan bagi meningkatkan hasil pengeluaran makanan bagi menampung pertambahan penduduk. Sebagai contoh petempatan yang boleh dilihat ialah di Mesir yang bermula sejak tahun 7000 S.M. setelah berlakunya Revolusi pertanian akhirnya membawa kepada kemunculan bandar-bandar seperti Memphis, Dhilkah dan Thebes.

Seterusnya antara ciri pembinaan tamadun ialah mempunyai kehidupan berorganisasi. Hidup secara berkumpulan yang menetap secara kekal telah menyebabkan pertambahan penduduk untuk satu-satu petempatan. Oleh itu, kehidupan secara berorganisasi sangatlah penting untuk memastikan kehidupan mereka pada waktu itu, aman damai tanpa pecah belah. Kehidupan berorganisasi ini mencakupi segala aspek politik, ekonomi mahupun sosial. Kehidupan ini bermakna wujudnya golongan yang memerintah dan golongan yang diperintah. Bermula daripada sistem keluarga kemudian menjadi sebuah masyarakat yang kompleks. Kebiasaannya sistem sosial berbentuk piramid dan bersusun lapis. Pemegang tampuk sosial yang tertinggi ialah raja yakni pemerintah sesuatu kawasan. Manakala heiraki kedua tertinggi ialah golongan bangsawan yang berperanan membantu raja untuk mentadbir negara atau kawasan takluk. Golongan bangsawan ini terdiri daripasa pendeta, pedari, ketua keluarga, pakar ilmuan dan pakar kesenian. Golongan bawahan terdiri daripada rakyat biasa dan juga hamba.

Ciri tamadun yang lain, ialah pengkhususan pekerjaan. Perkembangan dan pertambahan masyarakat telah membuatkan keperluan dan tuntutan untuk meneruskan hidup bertambah tinggi. Hal ini telah menyebabkan berlakunya pengkhususan pekerjaan untuk memudahkan kehidupan. Setiap anggota masyarakat memainkan peranan mereka sendiri. Sebagai contoh bagi golongan yang memerintah, menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga rakyat yang diperintah. Memenuhi segala keperluan rakyat dan memastikan negara sentiasa aman dan makmur. Manakala golongan bawahan seperti hamba dan rakyat biasa turut memainkan peranan mereka seperti bekerja sebagai nelayan, penternak, petani dan sebagainya. Pengkhususan kerja mempercepatkan lagi proses urbanisasi dan perkembangan tamadun. Hal ini kerana sebagai kesan peningkatan produktiviti yang telah dihasilkan. Peningkatan ini terutamanya jika dilihat dari sudut ekonomi telah menyebabkan berlakunya pertukaran sistem barter yang menjadi asas kepada aktiviti perdagangan. Sebagai kesannya juga telah menyebabkan berlakunya perhubungan dengan tamadun luar seperti pertukaran dan penyebaran ilmu baru dan sebagainya.

Selain itu, pembinaan tamadun ini juga menyaksikan bahawa masyarakat pada ketika itu mula berpegang teguh terhadap kepercayaan dan agama pada ketika itu. Mereka percaya bahawa dunia ini telah dicipta dan kawal oleh suatu kuasa ghaib. Hal ini bermula apabila mereka sudah tahu untuk menyesuaikan diri dengan alam sekeliling. Kepercayaan mereka pada ketika itu ialah kepercayaan animisme iaitu kepercayaan terhadap kuasa alam. Mereka percaya bahawa setiap benda yang ada di sekeliling mereka mempunyai semangat dan roh yang mesti dipuja untuk dijadikan pelindung. Perkembangan dan revolusi terhadap kepercayaan itu akhirnya membawa kepada kewujudan agama. Antara agama yang boleh dilihat ialah agama politisme iaitu percaya kepada banyak tuhan. Politisme ini juga boleh dilihat menerusi tamadun Mesir yang mengamalkannya. Sebagai contoh, Tamadun Mesir mempercayai kepada tuhan Amon-Re iaitu Tuhan Matahari, Osiris iaitu Tuhan Sungai Nil, Isis iaitu Tuhan Bulan, Nut iaitu Tuhan Langit dan Shu ataupun Tuhan Udara.

akhir sekali pembinaan tamadun manusia dari bahasa dan sistem tulisan. Bahasa dan sistem tulisan merupakan pemisah antara masyarakat yang bertamadun dengan masyarakat prasejarah. Hal ini kerana masyarakat prasejarah, mereka tidak mempunyai sistem tulisan dan bahkan buta huruf. Penciptaan sistem bahasa dan tulisan ini dapat menggambarkan intelektual masyarakat pada zaman pembentukan tamadun awal dunia ini sudah semakin berkembang dan maju. Sistem tulisan dan bahasa ini telah menyebabkan interaksi sesama mereka juga semakin berkesan dan lancar. Hal ini sedikit sebanyak mendorong terjadinya interaksi antara suatu negara dengan negara yang lain seperti hubungan perdagangan yang terjalin antara masyarakat Mesopotamia dengan masyarakat Mesir melalui hubungan perdagangan. Antara bahasa tertua ialah bahasa Yunani dan Sanskrit manakala contoh tulisan terawal ialah hieroglif, cuneiform dan ideogram. Sistem tulisan amat penting untuk penyimpanan rekod, penulisan undang-undang dan hal keagamaan.

Kesimpulannya, pembentukan tamadun awal manusia ini mencakupi beberapa aspek penting seperti yang telah dinyatakan tadi. Proses peningkatan tamadun ini terus berlaku mengikut peredaran masa dan zaman sehinggalah sekarang. Ini dapat dilihat menerusi kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh masyarakat dunia sekarang.


P/S: harap nyer dapat la membantu lebih2 sape2 y nak baca topik nie.. lebih2 4 sape2 yang amik major sejarah kat IPG.. :)